TIME VALUE OF MONEY (TVOM)

Imran Adam 791 Viewer 25 Apr, 2024 17:02 PM

NILAI MASA WANG, UNTUNG VS RIBA. 




.


Halal dan haram antara untung dan riba. 


Keuntungan dari hasil jualan adalah dibenarkan di dalam Islam. Namun keuntungan yang diperoleh hasil dari pemberian pinjaman atau nama lainnua riba adalah haram. Mengapa keuntungan hasil jualan diharuskan tetapi riba diharamkan? 


.


ISLAM IKTIRAF NILAI MASA WANG - TIME VALUE OF MONEY (TVOM)


Islam mengiktiraf nilai masa wang (time value of money), oleh itu harga barang yang dibayar secara ansuran atau bertangguh dibenarkan dengan harga yang lebih tinggi berbanding harga tunai. Namun kadar faedah (interest charge) yang dikenakan ke atas pinjaman adalah diharamkan. Mengapa perkara ini berlaku?  


Sebelum menjawab persoalan tersebut, pemberi pinjaman mengambil kira nilai masa wang kerana nilai matawang hari tidak sama dengan nilai matawang tersebut pada masa hadapan. Jika pemberi pinjaman merasakan dirinya berhak mengambil kira nilai masa wang, peminjam juga boleh merasakan begitu dengan berkata kepada pemberi pinjaman pada hari dia ingin melangsaikan hutangnya : 


“Aku pinjam dari kau RM1000 tahun lepas, dan nilainya hari ini pada kiraan aku bersamaan dengan RM900, jadi aku hanya akan memulangkan RM900 kepada kau.” 


Jadi dengan mengambil kira nilai masa wang, pemberi pinjaman mahukan nilai yang lebih manakala peminjam ingin membayar nilai yang kurang. Perkara ini akan mengurangkan bahagian sebelah pihak dan melebihkan bahagian pihak yang lain. Ia juga mendatangkan rasa ketidakpuasan hati di sebelah pihak dan berlakunya kezaliman ke atas sebelah pihak.


.


JUAL BELI AKAD MU'AWADHAH



Bagi menjawab persoalan di atas, jual beli dalam Islam merupakan akad mu’awadhah iaitu pertukaran barang dengan sesuatu. Ianya dibenarkan selagi mana kedua-dua pihak bersetuju dan redha akan transaksi tersebut. Penjual boleh meletakkan harga sesuatu barang dan pembeli bersetuju untuk membayar harga tersebut. 



Pemberian pinjaman dalam Islam pula adalah akad tabarru’, atau akad berbuat kebaikan dan bersifat ihsan sesama manusia. Ianya bertujuan untuk memudahkan urusan orang lain dan membantu orang yang dalam kesusahan. Ianya adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan pemberi pinjaman tidak boleh mengharapkan apa-apa ganjaran duniawi melainkan ganjaran pahala dari Allah SWT.


.


Oleh itu, pemberi pinjaman tidak boleh meminta atau mensyaratkan peminjam untuk membayar lebih dari amaun pinjaman. Dalam masa yang sama, jika peminjam ingin membayar lebih daripada amaun pinjaman sebagai tanda menghargai jasa pemberi pinjaman yang telah membantunya ketika berada dalam kesusahan, ianya tidak dilarang. 


.


Buat apa berhutang kalau boleh layby?

Biar lambat dapat, asal tak terjerat.